Friday 27 July 2012

Seronoknya Ramadhan!


Assalamualaikum sahabat-sahabat semua. Macam mana puasa pada hari ini (hari ketujuh)? Pastinya okay kan? Alhamdulillah.

Usia yang merangkak ke alam dewasa ini, membuatkan aku teringat pengalaman berpuasa pada zaman kanak-kanak dahulu. Memang seronok dan tak mungkin kanak-kanak lain terutamanya kanak-kanak zaman moden ini dapat merasakan pengalaman yang begitu indah seperti mana aku lalui. Masa aku menetap di Shah Alam dahulu, puasa boleh dikatakan meriah juga. Sebab kadang-kadang pakcu, ayah mie dan sepupu-sepupu aku belah abah akan datang berbuka puasa di rumah kami. Aku mesti la seronok berbuka ramai-ramai macam tu. Oleh itu, juadah yang wajib ada apabila dia orang semua datang ialah nasi ayam. Memang itu kepakaran mama. Ramai yang menggemari nasi ayamnya sampailah sekarang. Selain itu, bila abah pulang dari tempat kerja, abah akan bawa aku dan kakak ke bazaar Ramadan dan juadah wajib dan juga kegemaran abah ialah kuih tepung pelita. Boleh dikatakan abah tak pernah lupa beli kuih tu. Tapi kami pun suka juga sebab kuih tepung pelita tu memang sedap dan kedai tu memang ramai orang yang beratur untuk membelinya. Kalau abah balik lambat aku akan pergi dengan kakak naik basikal.

Pengalaman berpuasa yang juga tak dapat dilupakan ialah berbuka puasa di kampung, iaitu di Pekan Bandar DiRaja, Pahang. Semasa menetap di Shah Alam dulu, lebih kurang 10 tahun lebih, boleh dikatakan setiap awal Ramadhan kami sekeluarga tak pernah ‘miss’ balik Pekan. Banyak keistimewaannya berbuka di Pekan. Ada to’ki (to’ki sudah meninggal empat tahun yang lalu), ada cik anum, cik zuki, kadang-kadang ramai jugak yang balik bila awal-awal Ramadhan. Juadah yang paling popular dekat sana, sudah semestinya murtabak. Memang terbaik la murtabak Pekan. Yummy! Bila balik Pekan, murtabak memang juadah wajib yang ada atas meja makan selain daripada kurma. Huhuhu. Satu lagi yang specialnya berbuka puasa di Pekan, ialah apabila masuk waktu berbuka, meriam akan berdentum menandakan masuknya waktu berbuka puasa. Menarikkan? Dekat Shah Alam pun tak ada bunyi meriam macam tu.

Memang pengalaman yang menarik dan istimewa dan tak akan dilupakan sampai bila-bila. Sekarang pun ada juga pengalaman yang menarik, lebih-lebih lagi berbuka di asrama masa asasi dalu. Berbuka ramai-ramai dengan ‘housemate’ dan ‘classmate’. Setiap waktu yang dlalui dalam hidup ini, dihiasi dengan penuh pengalaman-pengalaman yang menarik, tak kiralah pengalaman tu suka mahupun duka. Semua tu membantu dalam proses mematangkan diri kita dan membantu menjadikan diri kita menjadi lebih baik.

Semoga ibadah puasa yang dijalani pada tahun ini diterima Allah. Semoga Allah memberikan keberkatan dan kesabaran dalam menjalani ibadah puasa ini.

Selamat berbuka semua!

Sekian dahulu. Wassalam.

Sunday 8 July 2012

Bersyukur Dan Bergembira!


Assalamualaikum para sahabat yang setia membaca ruangan yang tidak seberapa ini. Lama betul aku tak menekan papan kekunci ini menceritakan apa-apa. Bukan tidak mahu berkongsi tetapi masa banyak digunakan untuk perkara yang lebih penting.

Alhamdulillah, peperiksaan akhir baru sahaja tamat. Hati ini rasa teramat lega kerana dapat menghabiskan semester pertama ini dengan baik. Rasa baru semalam aku menjejakkan kaki ke UiTM Shah Alam, tetapi hari ini aku telah berada di rumah untuk cuti semester. Cepat betul masa berlalu, dan ia berlalu tanpa menunggu walau sesaat pun. Bila dikenangkan kembali kehidupan semasa semester pertama ini, rasa sangat bersyukur kerana dapat menghabiskannya dengan baik dan lancar. Belajar ini tidak mudah. Semakin tinggi tahap kita belajar semakin banyak dan mendalam sesuatu perkara itu. Menuntut ilmu itu satu ibadah. Kita menuntut ilmu kerana Allah. Kalau kita menuntut ilmu hanya untuk kepentingan diri sahaja, ilmu itu tidak akan ke mana. Biarlah susah mana sekali pun kita belajar, tetapi ia berguna untuk kita bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.

Habis sahaja ‘exam’, perkara pertama yang aku fikir ialah mama, abah dan rumah. Rasa tidak sabar pulang ke rumah itu membuak-buak. Aku akan pastikan cuti semester yang hampir dua bulan ini akan aku gunakan sepenuhnya untuk mama dengan abah. Lebih bermakna kalau cuti-cuti macam ni diisi dengan aktiviti-aktiviti yang menarik. Apa yang menariknya, baru sahaja mula cuti, masa cuti aku telah diisi dengan aktiviti yang pelbagai dan yang bertambah menarik dapat berjumpa dengan saudara-mara yang memang ‘fun’. Dapat tengok pembukaan SUKMA 2012, dapat pergi kenduri kahwin, dan dalam masa yang sama dapat berkumpul dengan semua ahli keluarga yang jauh mahupun yang dekat. Mungkin sesetengah orang, bercuti ke tempat-tempat pelancongan lebih menarik. Tetapi bagi aku berjumpa dengan mama, abah, kakak dan kehadiran saudara-mara serta sepupu yang memang rapat, sudah cukup mengisi masa cuti aku, huhuhu. Mungkin berbeza tetapi itu yang seronoknya.

Beberapa minggu lagi puasa akan bermula. tak sabar rasanya. Diharap puasa tahun ini akan lebih baik daripada sebelumnya dan diberkati Allah. Diharap juga semua perkara yang mendatang berjalan dengan lancar. Amin…

Sekian dahulu. Wassalam.